RASMI: Abang Johari (tengah) menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Simoi (kanan), Rohani (dua kanan), Harden (tiga kiri), Mong (dua kiri), Masir (kiri) di Sri Aman petang semalam.
SRI AMAN: Kubu Alice yang merupakan salah satu bangunan bersejarah di sini akan dibangunkan semula sebagai Muzium Warisan Dunia, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Menurutnya, projek menelan kos RM5 juta itu akan bermula pada Mei depan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2014.
“Kerja-kerja membangunkan semula bangunan bersejarah ini bermula pada Mei depan dan kita akan mengekalkan struktur bangunan seperti sebelum ini kecuali menggunakan material baharu iaitu kayu belian.
“Begitu juga di dalam bangunan itu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan berteknologi canggih,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan dan Menaik Taraf Kubu Alice sebagai Muzium Warisan Dunia di Taman Panorama Benak, di sini petang semalam.
Katanya, apabila siap nanti para pelancong yang berkunjung ke Sri Aman terutama pada Pesta Benak Sri Aman, akan berpeluang menyaksikan tayangan fenomena benak serta sudut pameran bahan-bahan bersejarah di Sri Aman serta transformasi bandar Sri Aman.
“Inilah antara yang kita lakukan di dalam bangunan bersejarah ini selain binaan struktur bangunan dikekalkan seperti sediakala,” jelasnya.
Tambahnya, pembangunan Kubu Alice sebagai Muzium Warisan Dunia juga merupakan salah satu daripada komponen pembangunan bandar Sri Aman yang kini sedang rancak dilaksanakan di sini.
“Pada masa yang sama, kita melihat pembangunan Tebingan Sri Aman yang kini telah siap dan Sri Aman juga akan memiliki sebuah hotel tiga bintang yang akan siap tidak lama lagi.
“Apabila semua projek ini siap kerajaan juga mempunyai perancangan menyambung semula pembangunan Tebingan Sri Aman,” jelasnya.
Beliau berkata, pembinaan semula Kubu Alice merupakan penghargaan generasi muda kepada generasi sebelum ini yang telah banyak berjasa kepada rakyat di sini.
Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis menjelaskan bahawa Kubu Alice dibina pada 1864 sebagai pusat pertahanan Raja Brooke ketika itu.
“Sebelum itu, Kubu Alice dibina di Skrang sebelum dipindahkan ke Sri Aman.
“Bukan setakat itu sahaja, Kubu Alice juga pernah dijadikan sebagai pusat pentadbiran bahagian Sri Aman,” katanya.
Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian (Penyelidikan dan Penyelarasan) merangkap ADUN Bukit Begunan Mong Dagang, ADUN Lingga Simoi Peri, calon Barisan Nasional (BN) Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim, calon BN Parlimen Sri Aman Masir Kujat, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat.
~DS~
No comments:
Post a Comment